Monday, May 13, 2013

Masa MCA, Gerakan pulih diri



SHAH ALAM - Kalangan penganalisis menyambut baik langkah MCA dan Gerakan menolak jawatan dalam kerajaan membolehkan mereka memulihkan diri terlebih dahulu sebelum kembali semula ke Kabinet.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, setelah pulih dan yakin akan dapat semula keyakinan pengundi Cina dalam pilihan raya, kedua-dua parti itu bolehlah melihat semula keputusan mereka.

"Jika tidak ada langsung jawatan dalam kerajaan (mewakili kaum Cina), ini boleh menimbulkan isu seolah-olah BN tiada wakil daripada kaum itu," katanya.

Sehubungan itu kata Sivamurugan, apa yang boleh diberi pertimbangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah melantik wakil kaum Cina yang dihormati termasuk yang bukan ahli politik.

Cadangan yang sama turut dikemukakan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) pada sidang akhbar, kelmarin yang turut bertegas supaya calon BN pada PRU13 yang kalah jangan dilantik memegang jawatan dalam kerajaan menggunakan platform senator kerana dibimbangi boleh menjejaskan imej parti selain tidak baik untuk masa depan negara.

Dalam pada itu, Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berkata, keputusan kedua-dua parti itu tidak menghalang ketua kerajaan sama ada perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri melantik wakil daripada kaum itu dalam Kabinet.

"Yang penting, orang Cina mesti ada wakil, lantiklah wakil yang mereka hormati," katanya.
   
Beliau berkata, melantik wakil Cina walaupun 90 peratus daripada kaum itu berpihak kepada pembangkang dipanggil affirmative action kerana jika tidak, kaum Cina mungkin akan dianggap ketinggalan dalam dasar-dasar yang kerajaan akan putuskan. Nanti timbul pula tanggapan ada dasar kerajaan yang tidak 'mesra' orang Cina," katanya.

PRU13: Kemampuan UMNO Terserlah!!!



Kemenangan BN dalam PRU13 baru-baru ini banyak ditunjangi oleh kemenangan besar kerusi yang ditandingi UMNO dan peningkatan sokongan pengundi Melayu sehingga 70% kepada BN. Berdasarkan statistik kerusi parlimen yang ditandingi UMNO pada PRU-12 berjumlah 117 kerusi,UMNO sekadar memenangi 79 manakala pada PRU13 kali ini UMNO bertanding di 121 kerusi dan berjaya meningkatkan jumlah kerusi kepada 89.

Selebihnya merupakan kerusi yang dimenangi oleh parti-parti komponen BN termasuk daripada Sabah dan Sarawak menjadikan kerusi yang dimenangi BN berjumlah 133 kerusi. 

Kejayaan BN merampas Kedah daripada Pakatan Pembangkang (PP) membuktikan bahawa sokongan dan kepercayaan orang-orang Melayu di Kedah terhadap UMNO dan BN sudah kembali.

Beberapa parlimen yang merupakan kubu kuat PAS dan PP di Kedah seperti Sik,Baling,Padang Terap,Pendang,Kulim-Bandar Bharu,Merbok dan Jerai berjaya dirampas kembali ke tangan UMNO selain mengekalkan parlimen yang dimenangi pada 2008. 

Dato' Sri Najib turut mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak akan tumbang walaupun sebahagian besar kaum cina menyokong pembangkang kerana BN terus mendapat sokongan kaum Melayu Bumiputera dan kaum India yang diterjemahkan dalam PRU13 sekaligus BN mendapat mandat untuk mentadbir negara. 

Tsunami politik kaum Cina sangat dirasai apabila melihat kepada keputusan pilihan raya yang sangat jelas bahawa kaum Cina mahu ubah kerajaan sedia ada dan diberi kepada PP. 

Sebagai contoh,parlimen Seputeh yang mempunyai populasi pengundi Cina 88%, Melayu 5.4%, India 6% dan lain-lain 0.6% dimenangi oleh Teresa Kok (DAP) dengan majoriti besar melebihi 50,000 undi mengatasi calon BN dari MCA Nicole Wong Siaw Ting. 

Sangat jelas terasa sokongan Cina terhadap BN melalui MCA sudah jatuh dan mereka sudah terpengaruh dengan janji-janji perkauman yang sering ditiup oleh DAP. Selain itu,kebanyakan kerusi DUN atau Parlimen yang populasi majoriti pengundi Cina atau marginal, kebanyakan kawasan turut dimenangi oleh DAP dan calon pembangkang bukan Melayu. Kemenangan Lim Kit Siang di Gelang Patah telah meranapkan harapan bekas MB Johor,Dato' Abdul Ghani Othman untuk mewakili kawasan tersebut di Dewan Rakyat dan MatMerapu mengkagumi pendirian Dato' Abdul Ghani kerana sebagai calon Melayu berani bertarung di tempat populasi tinggi pengundi Cina dan akhirnya pengundi Cina tetap tidak mahu memberi sokongan kepada calon Melayu. 

Jika dikaji secara lebih terperinci, lihatlah demografi politik di P.Pinang apabila DAP sekali lagi mencatat kemenangan besar di P.Pinang sekaligus mempertahankan negeri tersebut daripada dirampas kembali. PP menang 30 kerusi DUN daripada 40 dan DAP memenangi sebahagian besar kerusi tersebut diikuti PKR dan PAS (satu kerusi sahaja).UMNO hanya mampu mempertahankan 10 kerusi DUN yang kebanyakan kerusi ditandingi calon Melayu dari PAS atau PKR. Sangat jelas sokongan Melayu kepada UMNO dan BN masih tidak berubah dan berlaku peningkatan sokongan terutama di kawasan populasi tinggi pengundi Melayu .

Kata-kata Perdana Menteri sangatlah tepat dan BN perlulah melipat gandakan usaha untuk terus mendapat sokongan semua kaum dan melakukan penyatuan nasional yang sangat diperlukan jika melihat kepada senario politik PRU13 yang bakal mengundang bahaya jika tidak ditangani dengan segera serta secara bijaksana oleh kerajaan BN pimpinan UMNO.

Sunday, May 12, 2013

Lakonan Anwar : Cliche, Seperti Yang Telah Dijangka



'Too obvious' kata orang putih atau papatah Inggeris ada menyatakan 'It takes a thief to recognize a thief', hanya pencuri yang mampu mengenal seorang pencuri yang lain. Seperti sebuah  buku yang laman muka suratnya sering terdedah dan transkrip yang boleh di baca dan diketahui sebelum sampai dipenghujung muka surat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tetap dengan 'cara' lapuknya. Hanya mereka yang berfikiran lapuk jugalah yang akan tertarik membaca buku itu sehingga habis untuk menjangkakan apa yang bakal berlaku.

Bagi rakyat kebanyakan yang mindanya masih tidak dibelenggu dengan kejahilan, Anwar Ibrahim disifatkan pelakon utama dalam siaran ulangan sesuatu drama. Bagi Anwar, semua orang tidak jujur dan tidak betul serta serba serbi adalah salah. Walhal lakonan beliau sebenarnyalah yang telah menampakkan dirinya sepertimana yang dia tuduh.

Jika watak seperti Anwar cukup jelas diperlihatkan didalam video pun sekalipun, Anwar masih boleh terus bersilap mata menepis sambil menuding jari ke pihak lain jika beliau adalah yang tertuduh. Namun begitu sesuatu yang pelik berlaku bila Anwar pula menjadi watak yang menuduh.

Tanpa sebarang bukti sahih sekalipun yang perlu dipaparkan beliau untuk meyakinkan rakyat marhaen bahawa dakwaannya adalah benar.

Jika Anwar berkata ada puluhan ribu warga Bangladesh datang mengundi, Anwar tidak perlu berkata di mana mereka ini akan mengundi, peti mengundi yang mana satu. Jika Anwar berkata akan ada sebuah helikopter yang menjatuhkan peti undi, beliau tidak perlu sebut jatuh dimana, bila dan di saksikan oleh siapa. Malah tidak perlu pun mengatakan kawasan mana yang kekurangan bag undi walaupun setiap daerah mengundi sudah ada jumlah bag dan peti undinya.

Begitu juga jika Anwar dan pembangkang mengatakan ada 'black out' atau bekalan elektrik terputus, beliau tidak perlu sebut di kawasan mana dan bila ianya berlaku, berita ini terus sahaja menjadi bahan yang dipercayai kesahihan oleh mereka yang tidak lagi ada daya kemampuan untuk berfikir secara lurus dan waras.

Skrip lakonan Anwar terlalu terbuka dan terlalu mudah dijangka. Pernah beliau mengumumkan akan bersara jika pakatan pembangkang gagal menawan Putrajaya, namun kenyataan tersebut hanya sah laku untuk dirinya sahaja kerana pada hari yang lain atau berikutnya Anwar pasti akan mengubah skrip yang baru.

Semakin terserlah polemik ini, Anwar kini menyatakan bahawa kerjanya masih belum selesai walaupun beliau pernah mengumumkan jika pembangkang kalah atau tidak menjadi Perdana Menteri maka beliau akan berundur dan bersara dari politik. Sampai bila pun kerja Anwar tidak akan selesai. Jika selesai, beliau akan malu atau jatuh sakit.

Dengan tuduhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus walaupun beliau dan anaknya telah menang kerusi yang ditandingi, Anwar sebenarnya mahu meneruskan rencana 'kalah'nya kerana pada awalnya beliau menjangkakan dan mengetahui akan kalah.

Setelah mengenal pasti 'kambing hitam' iaitu SPR sejak sebelum bermulanya PRU-13 lagi, maka Anwar tetap meneruskan agenda 'kalah'nya terhadap badan tersebut walaupun dakwaan yang diberikan tidak konkrit namun agenda utama adalah untuk mewujudkan sesuatu 'isu' yang tidak boleh dihentikan malah perlu berterusan.

Anwar tidak pernah berubah dan tetap tidak akan berubah, dari dulu sehingga kini namun yang paling menyedihkan adalah masih ramai pihak yang tidak dapat melihat permainan politik ini, seolah-olah terlalu jahil. Bukanlah sesuatu yang sangat menghairankan perkara ini boleh berlaku, kerana penyokongnya sekalipun tidak dapat mengenali lenggok dan 'body movement' Anwar memandangkan mereka ini tidak rapat mengenalinya secara mendalam, maka apatah lagi untuk membaca pergerakan dan tindakannya.

Seperti sebuah novel, watak Anwar sudah boleh di baca. Hanya yang menambahkan keseronokan membaca novel ini adalah apabila melihat Anwar begitu bersungguh-sungguh menghayati watak lakonannya, walaupun rakyat sudah pun boleh mengagak intipati lakonan terbaik beliau sebelum membacanya di muka surat terakhir.

Fakta PRU13 : Realiti Pengundi Cina Tolak BN.


Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Ahad lalu mencerminkan corak pengundian dari segenap sudut pandang.

Ianya turut dikejutkan dengan sokongan majoriti pengundi Cina dilihat bersatu menolak pembentukan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sungguhpun pelbagai faktor dan alasan sampingan diberikan, tiada pihak berkemampuan menidakkan faktor paling utama ini apabila 90 peratus pengundi Cina memberikan sokongan padu kepada gabungan kerjasama DAP, PKR dan PAS.


Merujuk jadual di atas, hasil kajian berdasarkan jumlah kerusi BN mengikuti komposisi kaum cina di peringkat Nasional jelas menunjukkan peningkatan mendadak pengundi cina terhadap parti pembangkang.

Bagi kawasan minoriti pengundi cina (20% - 30%), BN memperolehi jumlah kerusi lebih tinggi bagi kawasan Parlimen dan DUN seluruh Negara. Sebaliknya, Pakatan Rakyat memonopoli majoriti jumlah pengundi yang sama bagi kawasan lebih dari 50%.




Corak pengundian Pakatan Rakyat juga dilihat sangsi apabila jelas menunjukkan perbezaan ketara kemenangan BN mengikut status jumlah pengundi kaum cina di peringkat Negeri.

Kawasan pengundi kurang 40% mempamerkan kekuatan pengundi Melayu dan India yang mentafsir tahap sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.




Ianya turut memberi kekalahan teruk buat MCA dengan hanya memperoleh tujuh kerusi Parlimen daripada 37 kawasan yang ditandingi manakala GERAKAN memenangi satu kerusi Parlimen daripada 11 yang ditandingi.

Kedudukan itu jauh ketinggalan daripada 38 kerusi Parlimen yang diraih DAP hingga menjadikannya parti dominan dalam pakatan pembangkang berbanding PKR dengan 30 kerusi dan PAS dengan 21 kerusi.





Apakah corak pengundian itu tidak menunjukkan bahawa orang Cina dalam negara ini tidak menyokong gagasan 1Malaysia yang berterusan diperjuangkan Najib?

Ada juga penganalisis Cina memberi alasan bahawa sebagai suatu bangsa yang amat pragmatik mereka selalunya memberi sokongan kepada pihak yang mereka anggap akan menang dalam sesuatu pertarungan.




Apa pun alasan yang diberikan dalam menunjukkan pengundi Cina tidak bersikap perkauman dan sekadar mahu menunjukkan bantahan kepada MCA dan GERAKAN, hakikatnya mereka sudah menolak BN pada PRU13